Port Dickson, 21 Mac 2025 – Politeknik Port Dickson telah berjaya menganjurkan Latihan CPCM Inovasi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) – Aplikasi Berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) Siri 2/2025 secara dalam talian selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Mac 2025.
Program latihan ini dianjurkan dengan kerjasama AAZ Smart Ventures sebagai penyedia latihan dan memberi fokus kepada penerapan inovasi PdP melalui penggunaan aplikasi berasaskan Kecerdasan Buatan (AI). Kursus ini telah dijalankan dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang menggunakan platform Google Meet dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pendidik.
Latihan ini dikendalikan oleh Dr. Muhamad Hariz bin Muhamad Adnan, pakar dalam bidang transformasi digital pendidikan dan inovasi pengajaran berasaskan AI. Sepanjang program, peserta didedahkan kepada pelbagai alat AI untuk PdP, isu etika dan integriti penggunaan AI, serta kaedah menghasilkan bahan pengajaran inovatif yang lebih interaktif dan berkesan.
Antara objektif utama penganjuran latihan ini adalah untuk meningkatkan kefahaman pendidik terhadap aplikasi AI dalam PdP, membimbing penghasilan bahan pengajaran berinovasi, serta memperkukuh keupayaan pendidik mengintegrasikan teknologi AI dalam amalan pengajaran harian. Program ini turut merangkumi sesi praktikal, penilaian hasil inovasi dan pembentangan projek berkumpulan.
Keberkesanan latihan ini dapat dilihat melalui keputusan ujian pra dan pasca yang menunjukkan peningkatan markah yang konsisten bagi semua peserta. Peningkatan ini membuktikan bahawa latihan yang dijalankan berjaya meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta, khususnya dalam penggunaan aplikasi AI untuk tujuan PdP.
Maklum balas peserta juga menunjukkan tahap kepuasan yang sangat tinggi terhadap kandungan kursus, kaedah penyampaian serta kepakaran penceramah. Majoriti peserta menyatakan latihan ini amat bermanfaat dan relevan dengan keperluan pendidikan semasa yang semakin menekankan penggunaan teknologi digital dan AI.
Secara keseluruhannya, Latihan CPCM Inovasi Dalam PdP (Aplikasi Berasaskan Kecerdasan Buatan) Siri 2/2025 telah berjaya mencapai objektif penganjuran dan memberi impak positif kepada peningkatan kompetensi pendidik. Penganjur berharap program seumpama ini dapat diteruskan secara berkala bagi menyokong agenda pendidikan digital dan inovasi pengajaran selari dengan perkembangan teknologi semasa.




























