Selangor, 4 Mac 2025 – Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah berjaya menganjurkan Kursus AI untuk Kontraktor secara dalam talian melalui platform Google Meet, melibatkan penyertaan aktif kontraktor Bumiputera dari seluruh negara.
Program latihan intensif selama sehari ini dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Hafizul Fahri bin Hanafi dan memberi tumpuan kepada pendedahan serta aplikasi Artificial Intelligence (AI) dalam industri pembinaan. Kursus berlangsung selama lapan jam bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang, dengan penyertaan 43 peserta pada sesi pagi dan 37 peserta pada sesi petang, daripada 50 peserta berdaftar.
Antara objektif utama penganjuran kursus ini adalah untuk meningkatkan kefahaman kontraktor terhadap konsep asas AI, penggunaan alat AI terbaik, serta penerapan teknologi AI dalam pengurusan projek, automasi kerja dan analisis data pembinaan. Peserta turut didedahkan kepada teknik menghasilkan bahan pembentangan profesional seperti slaid, infografik, video dan audio menggunakan teknologi AI.
Pelaksanaan kursus menggunakan pendekatan penyampaian interaktif, latihan berpandu, sesi soal jawab serta projek berkumpulan yang memerlukan peserta menghasilkan bahan pembentangan projek berasaskan AI. Setiap kumpulan membentangkan hasil kerja masing-masing dan menerima maklum balas terus daripada fasilitator, sekali gus mengukuhkan pemahaman praktikal peserta.
Program ini menyasarkan kontraktor Bumiputera Gred G1 hingga G7 dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Selain meningkatkan kemahiran digital, kursus ini turut membantu peserta memahami potensi AI dalam meningkatkan kecekapan operasi, mengoptimumkan pengurusan projek serta memperkukuh daya saing dalam industri pembinaan yang semakin berorientasikan teknologi.
Secara keseluruhannya, penganjuran Kursus AI untuk Kontraktor ini berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan dan memberi impak positif kepada para peserta. PKK berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi menyokong agenda transformasi digital serta memperkasa kontraktor Bumiputera sejajar dengan keperluan semasa industri pembinaan negara.









