PUTRAJAYA, 28 Ogos 2025 – Seramai kontraktor Bumiputera telah menyertai Kursus Pengurusan Dokumen Digital dan Keselamatan Data untuk Kontraktor yang dilaksanakan secara dalam talian menerusi platform Google Meet, anjuran PKK Wilayah Persekutuan Putrajaya. Kursus sehari yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang ini memberi penekanan kepada pendigitalan dokumen serta amalan keselamatan data selari dengan keperluan industri pembinaan masa kini.
Program ini dirangka khusus bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dokumen kontraktor melalui penggunaan teknologi digital. Antara fokus utama kursus termasuk pengenalan kepada pendigitalan dokumen, struktur fail digital yang sistematik, penggunaan pengkomputeran awan (cloud) serta kesedaran keselamatan siber dan pematuhan undang-undang seperti Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).
Sepanjang pelaksanaan kursus, peserta didedahkan dengan pendekatan pembelajaran interaktif merangkumi penyampaian oleh penceramah, latihan praktikal berpandu, sesi soal jawab dan kuiz penilaian. Demonstrasi penggunaan aplikasi seperti CamScanner turut membantu peserta memahami kaedah pengimbasan, penyusunan dan pengurusan dokumen digital dengan lebih efektif.
Penilaian kursus yang dijalankan melalui kuiz dalam talian menunjukkan tahap kefahaman peserta berada pada tahap yang sangat baik. Majoriti peserta berjaya menjawab soalan dengan tepat, sekali gus membuktikan keberkesanan kaedah penyampaian serta kesesuaian kandungan kursus dengan keperluan semasa kontraktor.
Maklum balas peserta juga amat positif, khususnya terhadap topik keselamatan data yang meningkatkan kesedaran tentang kepentingan melindungi maklumat sensitif projek dan syarikat. Peserta menyifatkan kursus ini relevan, praktikal dan memberi nilai tambah dalam meningkatkan kecekapan operasi serta komunikasi dengan agensi kerajaan.
Secara keseluruhan, penganjuran Kursus Pengurusan Dokumen Digital dan Keselamatan Data untuk Kontraktor ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan dengan skop latihan yang lebih mendalam bagi memperkasa daya saing kontraktor Bumiputera dalam era digital.












