JOHOR, 23 September 2025 – Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) Johor telah berjaya menganjurkan Kursus Pengurusan Dokumen Digital & Keselamatan Data untuk Kontraktor secara dalam talian menerusi platform Google Meet pada 23 September 2025. Kursus selama satu hari ini telah disertai seramai 43 orang peserta sesi pagi dan 43 orang peserta sesi petang, melibatkan kontraktor Bumiputera Gred G1 hingga G7 dari pelbagai negeri.
Kursus ini dianjurkan bagi menangani isu kelemahan pengurusan dokumen digital yang sering menjadi punca kegagalan pelaksanaan projek dalam kalangan kontraktor. Sepanjang tempoh 8.00 pagi hingga 5.00 petang, peserta didedahkan kepada kepentingan pendigitalan dokumen, penggunaan sistem pengarkiban digital, aplikasi penyimpanan awan (cloud), kawalan akses serta aspek keselamatan data dan pematuhan undang-undang seperti Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).
Antara objektif utama kursus adalah untuk meningkatkan kefahaman kontraktor terhadap pengurusan dokumen projek dan korporat secara sistematik dalam format digital, di samping memperkukuh kesedaran mengenai keselamatan siber dalam operasi harian syarikat. Metodologi pelaksanaan kursus merangkumi penyampaian interaktif, latihan berpandu, sesi soal jawab serta kuiz penilaian yang dijalankan pada setiap sesi.
Pengisian kursus meliputi pelbagai topik penting seperti pendigitalan dokumen, kategori dokumen dalam syarikat kontraktor, struktur fail digital dan sistem penamaan fail yang efisien, aplikasi cloud storage serta kesedaran keselamatan siber di peringkat peribadi, komuniti dan kebangsaan. Setiap sesi turut disertakan dengan kuiz bagi menilai tahap kefahaman peserta dan perbincangan dibuat bagi memperjelaskan soalan-soalan yang mencabar.
Secara keseluruhannya, kursus ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan maklum balas positif daripada peserta. Mereka menyatakan kepuasan terhadap kandungan kursus dan penyampaian penceramah, selain mengakui memperoleh banyak ilmu baharu yang relevan untuk diaplikasikan dalam pengurusan syarikat masing-masing. Penganjuran kursus ini juga dilihat selari dengan hasrat PKK dalam meningkatkan kualiti dan mutu perkhidmatan kontraktor Bumiputera, khususnya dalam kalangan kontraktor Gred G1 dan G2, ke arah pengurusan yang lebih cekap, sistematik dan selamat.












