Pengurusan Dokumen Digital & Keselamatan Data Tingkat Kecekapan Kontraktor Bumiputera – 24 September 2025

PULAU PINANG, 24 September 2025 – Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) Pulau Pinang telah berjaya menganjurkan Kursus Pengurusan Dokumen Digital & Keselamatan Data untuk Kontraktor secara dalam talian menerusi platform Google Meet pada 24 September 2025. Program latihan selama satu hari ini telah disertai seramai 46 orang peserta bagi sesi pagi dan 46 orang peserta bagi sesi petang, melibatkan kontraktor Bumiputera Gred G1 hingga G7 dari pelbagai negeri.

Penganjuran kursus ini bertujuan meningkatkan kefahaman kontraktor terhadap kepentingan pengurusan dokumen digital yang sistematik serta pemeliharaan keselamatan data syarikat dan projek. Sepanjang tempoh kursus dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang, peserta didedahkan kepada konsep pendigitalan dokumen, sistem pengarkiban digital, penggunaan aplikasi dan platform penyimpanan awan (cloud), kawalan akses serta pematuhan kepada undang-undang keselamatan data termasuk Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).

Antara objektif utama kursus adalah untuk membantu kontraktor menyusun dan mengurus dokumen projek serta korporat dalam format digital dengan lebih cekap, di samping meningkatkan kesedaran terhadap aspek keselamatan siber dalam operasi harian syarikat. Kaedah pelaksanaan kursus merangkumi penyampaian interaktif, latihan berpandu oleh penceramah, sesi soal jawab serta kuiz penilaian yang dijalankan pada setiap sesi pembelajaran.

Pengisian kursus meliputi topik-topik penting seperti definisi dan faedah pendigitalan dokumen, kategori dokumen dalam syarikat kontraktor, struktur fail digital dan sistem penamaan fail yang efisien, aplikasi cloud storage serta kesedaran keselamatan siber di peringkat peribadi, komuniti dan kebangsaan. Setiap sesi turut disertakan dengan kuiz bagi menilai tahap kefahaman peserta dan perbincangan dibuat bagi memperkukuh pemahaman terhadap topik yang dibincangkan.

Secara keseluruhannya, kursus ini telah berjaya mencapai objektif penganjuran dengan maklum balas yang amat positif daripada peserta. Majoriti peserta menyatakan kepuasan terhadap kandungan kursus dan penyampaian penceramah, serta berharap agar program seumpama ini diteruskan pada masa akan datang. Penganjuran kursus ini juga selari dengan usaha PKK Pulau Pinang dalam mempertingkatkan kualiti, kecekapan dan profesionalisme kontraktor Bumiputera, khususnya kontraktor Gred G1 dan G2, ke arah pengurusan syarikat yang lebih berdaya saing dan patuh kepada keperluan semasa industri pembinaan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *