Terengganu, 9 September 2025 – Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) Terengganu telah berjaya menganjurkan Kursus Pengurusan Dokumen Digital & Keselamatan Data untuk Kontraktor secara dalam talian menerusi platform Google Meet, melibatkan penyertaan seramai 61 orang peserta sesi pagi dan 61 orang peserta sesi petang.
Kursus selama satu hari (8 jam) ini disertai oleh kontraktor Bumiputera dari Gred G1 hingga G7 yang mewakili pelbagai negeri. Penganjuran kursus ini memberi fokus kepada keperluan semasa industri pembinaan yang semakin menekankan aspek pendigitalan, keselamatan data serta pematuhan undang-undang berkaitan pengurusan maklumat.
Antara pengisian utama kursus merangkumi topik pendigitalan dokumen, pengurusan fail projek dan korporat secara sistematik, penggunaan aplikasi dan platform penyimpanan awan (cloud), serta kesedaran keselamatan siber dan pematuhan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA). Penyampaian kursus dilaksanakan secara interaktif melalui ceramah, latihan berpandu, sesi soal jawab dan kuiz bagi setiap modul.
Sepanjang kursus, peserta turut didedahkan kepada struktur fail digital yang efisien, kaedah penamaan fail yang tersusun serta kepentingan kawalan akses bagi melindungi dokumen penting syarikat. Penilaian dibuat melalui kuiz atas talian menggunakan Google Form, di mana peserta dapat mengetahui pencapaian masing-masing secara serta-merta, diikuti perbincangan dan penjelasan oleh penceramah.
Secara keseluruhannya, penganjuran kursus ini telah mencapai objektif yang ditetapkan apabila majoriti peserta memberikan maklum balas sangat berpuas hati terhadap kandungan dan penyampaian kursus. Peserta menyatakan kursus ini memberi banyak pengetahuan baharu yang relevan dan wajar diteruskan pada masa hadapan.
PKK Terengganu berharap penganjuran kursus seumpama ini dapat membantu meningkatkan kualiti pengurusan syarikat kontraktor Bumiputera, khususnya dalam aspek pendigitalan dokumen dan keselamatan data, selaras dengan keperluan industri serta aspirasi untuk memperkukuhkan daya saing kontraktor tempatan dalam sektor pembinaan negara.








