Pengurusan Dokumen Digital & Keselamatan Data Untuk Kontraktor – 22 September 2025

ALOR SETAR, 22 September 2025 – Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) Kedah telah berjaya menganjurkan Kursus Pengurusan Dokumen Digital & Keselamatan Data Untuk Kontraktor secara dalam talian menerusi platform Google Meet, melibatkan penyertaan seramai 44 peserta bagi sesi pagi dan 44 peserta bagi sesi petang.

Kursus selama satu hari (8 jam) ini disasarkan kepada kontraktor Bumiputera dan memberi penekanan kepada kepentingan pendigitalan dokumen dalam pengurusan syarikat kontraktor, khususnya dalam aspek pengurusan projek, pentadbiran dan pematuhan undang-undang berkaitan keselamatan data seperti Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).

Antara objektif utama penganjuran kursus ini adalah untuk meningkatkan kefahaman peserta terhadap sistem pengarkiban dokumen digital, penggunaan aplikasi dan platform penyimpanan awan (cloud) yang selamat, kawalan akses serta kesedaran keselamatan siber. Kursus ini juga bertujuan membantu kontraktor meningkatkan produktiviti, melancarkan urusan pentadbiran serta memperkukuh persediaan audit dan pemantauan projek.

Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada pelbagai topik merangkumi pendigitalan dokumen, kategori dokumen dalam syarikat kontraktor, struktur fail digital dan sistem penamaan fail yang efisien, aplikasi cloud storage serta kesedaran keselamatan siber di peringkat peribadi, komuniti dan kebangsaan. Setiap sesi turut disertakan dengan kuiz penilaian bagi menguji kefahaman peserta, selain sesi soal jawab dan perbincangan interaktif bersama penceramah.

Secara keseluruhannya, penganjuran kursus ini telah mendapat maklum balas yang amat positif daripada peserta yang menyatakan kepuasan terhadap kandungan kursus serta penyampaian penceramah. Kursus ini dilihat sebagai platform penting dalam memperkasakan kontraktor Bumiputera, khususnya Gred G1 hingga G7, ke arah pengurusan dokumen yang lebih sistematik, selamat dan selari dengan keperluan semasa industri pembinaan.

PKK Kedah berharap agar penganjuran kursus seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi meningkatkan kualiti dan profesionalisme kontraktor Bumiputera selaras dengan aspirasi pembangunan industri pembinaan negara.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *