Pahang, 13 Ogos 2025 – Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) Pahang telah berjaya menganjurkan Kursus Pengurusan Dokumen Digital & Keselamatan Data untuk Kontraktor secara dalam talian melalui platform Google Meet. Kursus selama satu hari ini berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan mendapat sambutan menggalakkan daripada kontraktor Bumiputera Gred G1 hingga G7 dari pelbagai negeri.
Program ini melibatkan seramai 100 orang peserta, dengan 50 peserta bagi sesi pagi dan 50 peserta bagi sesi petang. Penganjuran kursus ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman kontraktor terhadap kepentingan pendigitalan dokumen, pengurusan fail projek dan korporat secara sistematik, serta pematuhan aspek keselamatan data selaras dengan keperluan undang-undang seperti Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).
Sepanjang kursus, peserta didedahkan dengan pelbagai topik penting termasuk definisi dan faedah pendigitalan dokumen, kategori dokumen dalam syarikat kontraktor, struktur fail digital yang efisien, penggunaan aplikasi penyimpanan awan (cloud), serta kesedaran keselamatan siber di peringkat peribadi, komuniti dan kebangsaan. Penyampaian kursus dilaksanakan secara interaktif melalui sesi ceramah, latihan berpandu, soal jawab dan kuiz penilaian bagi setiap sesi.
Menurut maklum balas peserta, kursus ini memberi nilai tambah yang tinggi dalam membantu kontraktor memahami kaedah pengurusan dokumen digital yang lebih teratur dan selamat. Persembahan penceramah juga menerima penilaian yang sangat baik, dengan majoriti peserta menyatakan kepuasan serta mencadangkan agar kursus seumpama ini diteruskan pada masa akan datang.
Secara keseluruhannya, penganjuran Kursus Pengurusan Dokumen Digital & Keselamatan Data ini dilihat berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan pengetahuan dan kompetensi kontraktor Bumiputera, khususnya Gred G1 dan G2, ke arah memperkukuh kualiti pengurusan syarikat kontraktor serta menyokong kelancaran operasi dan pematuhan keperluan industri pembinaan semasa.
















