Pengurusan Dokumen Digital & Keselamatan Data Untuk Kontraktor – 27 Ogos 2025

Kelantan, 27 Ogos 2025 – Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) Kelantan telah berjaya menganjurkan Kursus Pengurusan Dokumen Digital dan Keselamatan Data untuk Kontraktor secara dalam talian menerusi platform Google Meet. Kursus selama satu hari ini berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada kontraktor Bumiputera.

Program ini disertai seramai 94 orang peserta, melibatkan 46 peserta sesi pagi dan 48 peserta sesi petang, terdiri daripada kontraktor Bumiputera dari pelbagai latar belakang. Penganjuran kursus ini bertujuan untuk memperkukuh kefahaman dan kemahiran kontraktor dalam mengurus dokumen projek dan korporat secara digital serta meningkatkan tahap kesedaran terhadap keselamatan data dan pematuhan undang-undang seperti Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).

Sepanjang pelaksanaan kursus, peserta didedahkan kepada pelbagai topik penting termasuk kepentingan pendigitalan dokumen, kategori dokumen dalam syarikat kontraktor, struktur fail digital dan sistem penamaan fail yang efisien, pengenalan kepada pengkomputeran awan (cloud), serta kesedaran keselamatan siber di peringkat peribadi. Turut diberi penekanan ialah demonstrasi praktikal penggunaan alatan digital seperti CamScanner bagi membantu proses pengimbasan, penyusunan dan penyimpanan dokumen dengan lebih sistematik.

Kaedah penyampaian kursus yang interaktif melalui ceramah, latihan berpandu, sesi soal jawab dan kuiz penilaian telah membantu meningkatkan kefahaman peserta. Penilaian kuiz yang dijalankan selepas setiap sesi menunjukkan tahap penguasaan yang baik terhadap kandungan kursus, sekali gus membuktikan keberkesanan modul dan pendekatan latihan yang digunakan.

Secara keseluruhannya, kursus ini menerima maklum balas yang sangat positif daripada peserta yang menyifatkan kandungan kursus sebagai relevan dengan keperluan semasa industri kontraktor. Penganjuran kursus ini diharap dapat membantu kontraktor meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan risiko kehilangan data serta memperkukuh pengurusan dokumentasi projek secara lebih tersusun dan selamat, selaras dengan agenda pendigitalan sektor pembinaan negara.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *