Integrasi AI Dalam Pendidikan Jadi Fokus SPM RTM

KUALA LUMPUR, 4 Mei 2026 – Isu integrasi kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pendidikan Malaysia menjadi tumpuan utama dalam program Selamat Pagi Malaysia (SPM): 1 Hari 1 Inspirasi yang disiarkan secara langsung pagi tadi menerusi RTM.

Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 pagi itu menampilkan Prof. Madya Ts. Dr. Shamsul Arrieya Ariffin, Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Pengkomersialan, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Beliau juga merupakan Ketua SIG Human Centered Cultural Technology Design.

Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi pandangan mengenai kepentingan penggunaan kecerdasan buatan dalam memperkasakan sistem pendidikan negara agar lebih relevan dengan perkembangan teknologi semasa. Menurut beliau, negara-negara seperti Singapura, Malaysia dan Thailand telah mula mengorak langkah dalam mengintegrasikan AI dalam sektor pendidikan masing-masing.

“Penggunaan AI bukan sahaja mampu meningkatkan keberkesanan pembelajaran, malah membantu guru dalam penyediaan bahan pengajaran yang lebih interaktif dan berasaskan data,” jelas beliau ketika sesi siaran langsung.

Program ini turut menekankan keperluan kolaborasi antara institusi pendidikan, industri dan kerajaan bagi memastikan pelaksanaan teknologi AI dapat dilakukan secara menyeluruh dan beretika. Selain itu, pendekatan berpusatkan manusia (human-centered) juga ditekankan bagi memastikan teknologi yang dibangunkan selari dengan nilai budaya dan keperluan masyarakat tempatan.

SPM “1 Hari 1 Inspirasi” merupakan platform RTM dalam menyampaikan perkongsian ilmu dan inspirasi daripada pakar pelbagai bidang kepada rakyat Malaysia. Episod kali ini berjaya membuka ruang perbincangan mengenai masa depan pendidikan digital serta peranan AI dalam membentuk generasi akan datang.

Program ini boleh ditonton semula melalui platform RTMKlik dan saluran rasmi RTM bagi mereka yang terlepas siaran langsung.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *