KUALA LUMPUR, 4 Mei – Kerajaan disaran memperkukuh pelaksanaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pendidikan negara dengan memberi penekanan terhadap aspek etika, akses serta literasi digital bagi memastikan pendekatan yang lebih menyeluruh dan inklusif.
Pakar Teknologi Pendidikan, Profesor Madya Dr. Shamsul Arrieya Ariffin berkata, langkah tersebut selari dengan usaha Malaysia mempercepatkan transformasi digital dalam sektor pendidikan, sekali gus meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Menurut beliau, penggunaan AI berpotensi membantu meringankan beban tugas guru dan pensyarah, selain meningkatkan produktiviti pelajar dalam proses pembelajaran harian.
“Guru dan pensyarah berdepan beban tugas yang tinggi, termasuk penyediaan laporan yang mengambil masa berhari-hari. Dengan AI, tugasan tersebut boleh diselesaikan dalam tempoh yang lebih singkat, sekali gus memberi kelebihan dari segi kecekapan,” katanya ketika ditemui di Angkasapuri Kota Media.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan AI juga mampu membantu pelajar menjana idea awal bagi tugasan akademik, namun penggunaannya perlu dikawal dengan garis panduan etika yang jelas. Katanya, isu integriti akademik dan keselamatan data perlu diberi perhatian serius bagi mengelakkan penyalahgunaan teknologi tersebut dalam kalangan pelajar dan pendidik. Selain itu, jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar turut menjadi cabaran utama dalam memastikan akses pendidikan berasaskan AI dapat dinikmati secara adil.
“Masih terdapat kawasan pedalaman yang berdepan masalah capaian internet dan kekurangan peranti. Ini memberi kesan kepada peluang pelajar untuk memanfaatkan teknologi AI dalam pembelajaran,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menambah baik infrastruktur digital, menyediakan insentif bersesuaian serta memperluas akses kepada kemudahan teknologi bagi merapatkan jurang tersebut. Pada masa sama, program literasi AI perlu diperkasa dan diperluas kepada guru, pelajar serta komuniti bagi meningkatkan kefahaman dan kesediaan menghadapi perubahan dalam pendidikan masa depan. Langkah ini dilihat penting bagi memastikan penggunaan AI dalam pendidikan bukan sahaja berkesan, malah beretika dan inklusif, selaras dengan keperluan era digital masa kini.











